Sunday, October 21, 2012

Isu Lagu Harapan Bangsa: Hanya Nyanyi Untuk Penganut Kristian - Jac



Diterbitkan oleh malaysiandigest.com pada 20 Oktober 2012.

Penyanyi Jaclyn Victor menganggap lagu Harapan Bangsa yang dinyanyikannya adalah salah satu bentuk sumbangan dan tanggungjawab untuk agamanya iaitu Kristian.

Memetik kenyataan di mStar Online, jelas juara Malaysian Idol ini, dia menyanyikan lagu itu dalam Bahasa Malaysia bukan bertujuan untuk menyebarkan agama berkenaan tetapi dikhususkan kepada penganut Kristian di Sabah dan Sarawak. Tambahan kebanyakan mereka di dua negeri itu lebih faham Bahasa Malaysia.

"Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang penganut Kristian dengan menyanyikan lagu berkenaan kepada orang Kristian di Sabah dan Sarawak. Kebanyakan mereka di dua negeri itu lebih faham Bahasa Malaysia.

"Dan sebagai sebuah negara yang mengamalkan kebebasan beragama, isu tersebut tidak seharusnya dipertikaikan," katanya.

Beberapa hari lalu timbulnya kontroversi penyanyi berusia 33 tahun ni dipertikaikan kerana menyanyikan lagu yang mengandungi konotasi agama yang berkaitan dengan agama Kristian. Lantaran itu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) turut mendakwa Jac telah menghina Islam dan mahu memboikot penyanyi itu.

Selain dalam laporan Utusan Malaysia semalam menyebut, Ahli Timbalan Menteri Pelajaran yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta kementerian berkaitan menyiasat lagu Harapan Bangsa yang mungkin telah menyentuh sensitiviti penganut agama lain di negara ini.

Lagu tersebut pernah dinyanyikan Jac di gereja di Sabah dan Sarawak kira-kira lima tahun lalu. Bagaimanapun ianya mencetuskan kontroversi selepas ia dimuat naik menerusi YouTube bermula Januari lalu.

Tambah penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini, dia tidak melakukan sebarang kesalahan kerana lagu berkenaan bukan dihasilkan untuk tujuan komersial.

No comments:

Post a Comment