
Semasa mengemas buku-buku lama di rumah (emak sudah mengeluarkan arahan tidak boleh ditanggung lagi), saya terjumpa buku bertajuk, "Prosa Klasik & Sajak: SPM Bahasa Malaysia" (Cetakan 1987). Teringat kembali ketika mengambil peperiksaan SPM. Walaupun BM bukan subjek kegemaran saya, buku ini saya pernah membaca berulang-ulang kali. Bukan sekadar untuk lulus peperiksaan tetapi saya amat tertarik dengan kesusasteraan yang terkandung di dalamnya. Bahasanya begitu halus dan penuh bermakna. Di antara kegemaran saya ialah sajak hasil karya Usman Awang (Bahasa Alam) yang bertajuk, "Anak Jiran Tionghua":
Begitu kecil ia berdiri di tepi pagar
kilat matanya memanggil Iskandar
siapa berlalu siapa berkaca
melihat keduanya bergurau senda
Anak Tionghua kelahiran di sini
di bumi hujau ladang-ladang getah dan padi
ia bisa bercerita untuk siapa saja
di sini tanahnya dan ibunya bersemadi
Lihat mereka sedang berebutan pistol mainan
he, jangan berkelahi
ah, anak-anak dengan caranya murni
berkelahi untuk nanti bermain kembali
Lihat mereka tertawa riang
Ah Chen tak punya gigi sebatang
Iskandar mengesat hingus ke baju
sekarang mereka menunggu ais krim lalu
Bumi tercinta resapkan wahyumu
jantung mereka adalah langitmu
darah mereka adalah sungaimu
nafas mereka adalah udaramu.
Malangnya, kesusasteraan yang bijaksana seperti ini telah semakin berkurangan. Ditimbun laungan ahli-ahli politik yang hanya menjaga kepentingan sendiri. Alangkah baiknya jika yang dewasa juga saling bergaul tanpa mengira kaum seperti kanak-kanak.