www.loyarburok.com
Penulis: Amer Hamzah · Khamis, January 29th, 2009
Insiden kematian dalam tahanan (death in custody) bukanlah merupakan satu fenomena baru. Terkini,
masyarakat Malaysia dikejutkan sekali lagi dengan kematian seorang tahanan, Kugan Ananthan, semasa beliau
berada di dalam tahanan pihak polis. Terdahulu, terdapat beberapa insiden kematian dalam tahanan yang telah
dilaporkan di dalam media seperti kematian Francis Udayappan, Prakesh Moses dan Ulaganathan. Walaupun isu
ini telah acapkali dibangkitkan dan dibincangkan, namun fenomena ini masih tetap wujud. Persoalan yang timbul
kini adalah mengapakah perkara ini masih berulang?
Di dalam kita mengupas dan mengulas isu ini harus ditekankan pada luarannya bahawa kematian Kugan tidak
harus dijadikan suatu isu perkauman, walaupun ada sesetengah pihak yang mengambil kesempatan untuk
menjadikannya sebagai satu isu perkauman. Isu kematian Kugan dan juga mereka yang terdahulu darinya, adalah
suatu isu pencabulan hak asasi manusia yang harus diambil berat oleh semua lapisan masyarakat tidak kira apa
jua bangsa dan agama mereka dan tidak harus menjadi tanggungjawab sesuatu kaum sahaja.
Jika kita lihat pada statistik yang saya perolehi dari Suaram, jumlah kematian dalam tahanan polis yang telah
diketahui adalah seperti berikut:-
i) Tahun 2005 - 5 orang Melayu dan 6 orang India.
ii) Tahun 2006 - 5 orang Melayu, 3 orang India dan 2 orang Cina.
iii) Tahun 2007- 4 orang Melayu, 2 orang India dan 4 orang Cina.
iv) Tahun 2008 - 2 orang Melayu, I orang India dan 4 orang Cina.
Menurut statistik yang dikemukakan oleh Kementerian Dalam Negeri pada 8 Julai 2008 kepada Parlimen pula, dari
tempoh 2003 hingga 2007 terdapat 1531 kes kematian dalam tahanan dan daripada jumlah tersebut terdapat 85
kes kematian dalam tahanan polis.
Daripada maklumat-maklumat terhad seperti di atas, adalah jelas dan nyata bahawa isu kematian di dalam
tahanan bukanlah hanya tertumpu kepada sesuatu kaum sahaja. Seperkara lagi yang dapat diperhatikan ialah,
mangsa-mangsa kematian dalam tahanan polis adalah dari golongan bawahan ataupun golongan pekerja dan
bukannya dari golongan atasan ataupun golongan kapitalis.
Dari segi norma-norma hak asasi, apabila seseorang ditahan mengikut lunas undang-undang, adalah menjadi
kewajipan pihak berkuasa untuk memastikan sahsiah dan kebajikan tahanan dijaga dan tidak dicabuli. Hakikat
bahawa mereka ditahan bagi tujuan siasatan, tidak bermaksud bahawa pihak berkuasa mempunyai hak mutlak ke
atas tahanan-tahanan bagi membolehkan mereka diperlakukan sesuka hati tanpa peri-kemanusianan. Setiap
tahanan harus dilayan dengan sebaik mungkin dan mereka tidak boleh dikenakan sebarang bentuk penyiksaan
atau penganiayaan dari segi fizikal mahupun mental. Yang utama sekali adalah bahawa prinsip ini seharusnya
terpakai kepada setiap tahanan tidak kira samada mereka dari kelas bawahan/pekerja ataupun kelas
atasan/kapitalis. Tetapi sejarah telah membuktikan bahawa terdapat perbezaan di antara layanan terhadap
golongan atasan/kapitalis dan golongan bawahan/pekerja. Saya percaya Abdul Razak Baginda tidak menerima
layanan sepertimana yang diterima oleh Kugan semasa Abdul Razak Baginda berada dalam tahanan polis. © LoyarBurok · URL of this document: http://www.loyarburok.com/the-system/kematian-kugan-suatu-tragedi-yang-menuntut-suatu-revolusi/ · Document created: February 1st, 2009, 9:56 pm.
Sekiranya, kita masih ingat lagi tidak lama dahulu kerajaan telah menubuhkan Suruhanjaya DiRaja Pembaikan
Perjalanan dan Pengurusan Polis DiRaja Malaysian (Suruhanjaya Polis). Banyak isu dan aduan telah
dikemukakan dan salah satu aduan yang dikemukakan adalah berhubung dengan isu kematian dalam tahanan.
Walaupun Suruhanjaya Polis telah membuat laporan berhubung dengan isu ini dan telah mengusulkan beberapa
cadangan, namun seperti kelazimannya, cadangan-cadangan yang dikemukakan tersebut hanya menjadi
cadangan dan retorik sahaja. Selain dari Suruhanjaya Polis, institusi-institusi lain dan juga organisasi-organisasi
bukan kerajaan seperti Majlis Peguam, SUHAKAM dan Suaram juga telah memberi cadangan dan kritikan
membina. Namun kesemuanya umpama tindakan mencurah air ke daun keladi.
Berapa ramai nyawa yang harus dikorbankan sebelum satu langkah konkrit dan drastik diambil oleh pihak yang
berkewajipan? Adakah kerana mereka yang menjadi mangsa hanya merupakan golongan rakyat biasa yang tidak
mempunyai kedudukan dan darjat dari kacamata kerajaan, maka nasib mereka dan ahli-ahli keluarga mereka tidak
diendahkan dan diperkotak-katikkan? Perlukah anak seorang Menteri ataupun kerabat diRaja mati dalam tahanan
sebelum perubahan akan dilakukan?
Apa yang perlu dilakukan adalah suatu revolusi - revolusi dari segi penstrukturan masyarakat, minda dan juga
pentadbiran negara.
Dari konteks penstrukturan masyarakat, memandangkan majoriti rakyat mendokong fahaman kapitalisma, maka
sebarang isu yang tidak menjejaskan ekonomi ataupun peluang untuk memperkayakan diri tidak dianggap sebagai
suatu perkara yang serius dan utama. Secara khususnya, golongan atasan dan kapitalis tidak memandang serius
isu kematian dalam tahanan kerana kebanyakan mereka berpendapat bahawa harta-benda dan kapital mereka
tidak akan terjejas. Tambahan pula, golongan atasan dan kapitalis sentiasa beranggapan bahawa mereka berada
di atas undang-undang ataupun sistem undang-undang tersebut boleh dimanipulasi melalui korupsi. Oleh itu
struktur kelas yang sedia wujud harus dihapuskan kerana selagi ada sistem kelas, maka selagi itu akan adanya
korupsi dan proses memanipulasikan sistem undang-undang oleh pihak atasan dan kapital. Akhirnya yang
menjadi mangsa adalah rakyat jelata - golongan pekerja.
Revolusi minda juga adalah perlu, di mana kita tidak harus membiarkan isu perkauman atau agama menjadi batu
penghalang kepada sesuatu isi pencabulan hak asasi. Acapkali isu-isu pencabulan hak asasi disadurkan dan
dikaburi dengan isu perkauman dan agama. Contoh yang nyata sekali ialah isu kemanusiaan di Gaza di mana
pihak-pihak tertentu dengan segera menjadikannya suatu isu agama. Begitu juga dengan isu kematian Kugan.
Kita harus peka dan tidak harus cepat melatah dan melaungkannya sebagai isu perkauman. Kematian Kugan
adalah suatu tragedi yang harus ditangisi oleh semua lapisan masyarakat kerana beliau adalah warganegara
Malaysia dan kematiannya adalah simbol kegagalan sistem yang sedia ada dan juga kerakusan pihak berkuasa ke
atas rakyat jelata.
Yang paling mustahak sekali adalah revolusi dari segi pentadbiran negara. Hakikat bahawa terdapatnya insideninsiden
kematian dalan tahanan jelas menunjukkan satu corak kepincangan dan kegagalan dari segi prosedur dan
dasar di dalam pentadbiran dan pengawal-seliaan oleh pihak berkuasa. Ianya menghendaki suatu perubahan dan
sebarang bentuk perubahan positif memerlukan daya politik (political will). Keengganan pihak pemerintah untuk
menjanakan perubahan positif demi kebaikan rakyat memerlukan suatu tindakan drastik dari rakyat. Sepertimana
yang telah dinyatakan tadi, cadangan-cadangan telahpun dibuat namun tiada tindakan yang diambil. Dalam situasi
tiada daya politik untuk melaksanakan perubahan oleh pihak yang berkuasa, maka rakyatlah yang harus
menggerakkan perubahan tersebut melalui satu revolusi, sebagai contohnya rakyat telah berjaya untuk mendesak
supaya post-mortem kedua dijalankan ke atas Kugan. Sedikit sebanyak ianya telah menghantar suatu mesej yang
jelas kepada kerajaan bahawa rakyat tidak mahu lagi ditindas.
Adalah memalukan bagi sebuah negara berdaulat, seperti Malaysia, sekiranya isu ini tidak dapat ditangani.
Pepatah ada mengatakan bahawa tahap ketamadunan sesuatu negara boleh diukur melalui cara tahanan di
dalam negara tersebut dilayan. Oleh yang demikian, sekiranya kita mengambil statistik yang sedia ada dan
dengan perkembangan terkini, apakah nilai ketamadunan kita dan kemanakah hala tuju kita? Sama-samalah kita
fikirkan dan bertindak bagi menggerakkan perubahan yang positif. Kuasa bukanlah terletak di tangan pemerintah,
tetapi di tangan rakyat. Marilah kita sama-sama tunjukkan kekuatan rakyat - rakyat berani, petualang akan lari.
Salam revolusi.
This entry was posted on Thursday, January 29th, 2009 at 1:00 pm and is filed under Bolehland, The System