Thursday, September 27, 2012

Menteri Pertahanan: Tak perlu pihak luar siasat isu RIV

NONE
Diterbitkan oleh Malaysiakini pada 25 September 2012.

Kementerian Pertahanan tidak memerlukan siasatan oleh pihak luar berhubung isu pembelian Rapid Intervention Vehicle (RIV), kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata siasatan terperinci secara dalaman yang dijalankan sejurus selepas isu itu dibangkitkan Sultan Johor Sultan Ibrahim telah memadai bagi mencari punca kepada isu berkenaan.
    
"Maklumat awal hasil siasatan yang dijalankan telah pun saya peroleh dan setakat ini saya dapati kementerian tidak perlu kepada siasatan oleh pihak luar dalam mencari penyelesaian kepada isu ini," katanya mengulas mengenai perkembangan siasatan terhadap dakwaan Sultan Ibrahim mengenai perbezaan harga RIV yang lebih mahal daripada harga yang dianugerahkan oleh baginda.
    
"Saya sebagai menteri pertahanan mengambil tanggungjawab penuh atas keprihatinan yang ditunjukkan Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas yang membangkitkan isu ini dan saya akan pastikan siasatan dijalankan sehingga ke akar umbi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Tentera Laut Pasifik Barat (WPNS) ke-13 di ibunegara hari ini. 
    
Beliau berkata siasatan itu bukan sahaja mengambil kira aspek harga tetapi semua dokumen pembelian seperti spesifikasi dan pakej pembelian yang melibatkan latihan. 
    
Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata kementeriannya tidak akan bertolak ansur, sama ada dengan syarikat pembekal atau mana-mana pegawai yang masih bertugas atau telah meninggalkan kementerian, sekiranya mereka didapati terlibat dalam sebarang penyelewengan dalam tawaran pembekalan RIV itu. 

Sultan Johor pada majlis ulang tahun Rejimen Gerak Khas ke-47 di Kem Iskandar, Mersing, Johor 8 Sept lepas dilaporkan bertitah harga RIV yang dianugerahkan oleh baginda ialah RM150,000 berbanding RM690,000 yang dijual oleh pihak pembekal. 
    
Ditanya mengenai peruntukan terhadap kementerian pertahanan yang semakin mengecil berbanding pemilikan aset yang sedang dilakukan negara jiran, Ahmad Zahid berkata ia tidak perlu dibimbangkan kerana pembelian itu lebih kepada penggantian aset lama. 
    
Ahmad Zahid berkata perbincangan beliau bersama rakan-rakan sejawatnya dari negara lain juga menunjukkan mereka tidak berniat untuk melakukan provokasi sebaliknya pembelian itu lebih kepada menggantikan aset lama serta mengikut keadaan semasa perubahan teknologi. 
    
"Rasanya kita tidak perlu bersaing untuk tingkatkan perbelanjaan pertahanan, namun kami tetap merasa bangga kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku menteri kewangan tetap memberikan peruntukan untuk pertingkatkan aset ketenteraan," katanya. 




10 September 2012: Perbezaan harga Rapid Intervention Vehicle (RIV) yang diutarakan Sultan Johor Sultan Ibrahim dalam titah baginda Sabtu lepas akan disiasat, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata kementeriannya mengambil secara positif komen tersebut dengan menganggapnya sebagai satu keprihatinan yang ditunjukkan Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas. 


11 September 2012: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta kerajaan memandang serius dan menyiasat dakwaan sama ada wujudnya amalan rasuah dan ketirisan dalam pembekalan kelengkapan tentera kepada pasukan elit Kor Gerak Khas angkatan tentera... "Apa yang dizahirkan oleh Sultan Johor adalah suatu kebimbangan terhadap amalan rasuah dan ketirisan yang mungkin berlaku dan menyerap masuk dalam dalam projek membekalkan kelengkapan peralatan tentera sehingga anggota pasukan elit itu menjadi mangsanya," kata Naib Ketua DPPM, Dr Raja Ahmad Raja Yaacob.

No comments:

Post a Comment